Trauma Berulang, Isteri Bekas Pegawai Kanan GLC Luah Kesedihan Suami Direman

KUALA LUMPUR: “Hanya Allah yang Maha Mengetahui.”

Demikian luahan isteri seorang bekas pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak dapat menyembunyikan kesedihan selepas suaminya sekali lagi berdepan siasatan pihak berkuasa, selepas melalui proses perundangan hampir sedekad dalam kes terdahulu.

Wanita itu berkata pengalaman yang dilalui keluarganya sebelum ini meninggalkan kesan mendalam, termasuk apabila suaminya didakwa dalam satu kes pada 2016 sebelum akhirnya dibebaskan.

“Selama 11 tahun itu suami saya tak ada pencen, kami cari sendiri dan alhamdulillah bolehlah, berjayalah untuk membina kehidupan, meneruskan kehidupan walaupun tersangat pahit.

“Walau bagaimanapun, bila kena untuk kali kedua ini, saya rasa terasa sangat hati saya sebab saya tahu suami saya berhati-hati sangat semasa menandatangani apa-apa saja dokumen berkaitan tanggungjawab yang diberikan kepada dia,” katanya kepada media selepas prosiding reman di sini, hari ini.

Menurutnya, suaminya sentiasa berkongsi mengenai tanggungjawabnya ketika memegang jawatan berkenaan dan memberikan komitmen tinggi sepanjang menjalankan tugas.

Beliau mendakwa keputusan berkaitan dokumen yang kini menjadi perhatian siasatan bukan dibuat secara bersendirian, sebaliknya selepas mendapat arahan dan kelulusan pihak berkaitan.

“Saya sangat kecewa bila dia kena seperti ini. Seolah-olah bila pegang jawatan itu, salah saja pergi kepada dia.

“Kita kenalah tengok juga apa kebaikan yang telah beliau lakukan. Walaupun beliau telah menandatangani surat itu, ia ditandatangani setelah mendapat arahan daripada pihak atasan dan juga lembaga,” katanya.

Beliau turut mendakwa keluarganya sebelum ini telah membuat pengisytiharan harta dan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencurigakan.

Sementara itu, peguam yang mewakili bekas pegawai berkenaan berkata mahkamah hari ini membenarkan permohonan reman selama lima hari sehingga Jumaat, selepas pihaknya membantah permohonan asal tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, bantahan dibuat antaranya mengambil kira faktor usia dan keadaan kesihatan anak guamnya, selain mendakwa tiada risiko beliau melarikan diri, memusnahkan bukti atau mengganggu saksi.

Peguam itu berkata siasatan berkenaan dipercayai berkisar mengenai surat kuasa wakil bertarikh 5 Jun 2014 melibatkan tanah strategik milik sebuah GLC di Jalan Semarak yang ketika itu dianggarkan bernilai kira-kira RM270 juta.

Menurutnya, surat kuasa wakil berkenaan didakwa kemudiannya disalahgunakan oleh pihak pemaju bagi memindah milik tanah kepada syarikat mereka sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara berkenaan kemudiannya dikesan, laporan polis dibuat dan tindakan undang-undang diambil sehingga surat kuasa wakil tersebut dibatalkan.

Beliau mendakwa tanah terbabit juga telah dikembalikan kepada pemilik asal dengan persetujuan pihak pemaju.

Peguam itu turut menegaskan bahawa anak guamnya sebelum ini pernah melalui proses perundangan panjang dalam satu kes berasingan yang bermula pada 2016.

Menurutnya, anak guamnya pada awalnya didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen sebelum keputusan itu diketepikan Mahkamah Tinggi.

Katanya, keputusan pembebasan berkenaan kemudiannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada November tahun lalu.

“Jadi itulah trauma yang telah dilalui. Nampaknya sedang berlaku untuk kali kedua.

“Apa yang kita mahu dan harapkan, keadilan mesti ditegakkan. Tetapi dalam proses mencari keadilan, janganlah sampai orang yang tidak bersalah dijadikan mangsa keadaan,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga pula berharap sebarang proses siasatan terhadap pengurusan GLC dilaksanakan secara profesional tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

“Politik tak sepatutnya bercampur aduk dengan GLC. Kami ini hanya rakyat biasa, rakyat yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam politik.

“Kenapa kami? Kenapa dua kali?” katanya.

Setakat ini, individu terbabit masih dalam proses siasatan dan belum disabitkan atas sebarang kesalahan berhubung perkara yang sedang disiasat.

BBerkaitan

Latest articles