PUTRAJAYA: Siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa membabitkan urusan pelantikan pemaju dan penjualan tanah milik Felda memasuki fasa baharu apabila seorang bekas Pengarah Besar Felda direman selama lima hari mulai hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lewat 60-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan berhubung siasatan berkenaan.
Suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Beliau sebelum itu ditahan sekitar jam 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan keterangan.
Seorang lagi lelaki berusia lingkungan 50-an turut ditahan bagi membantu siasatan yang sama.
Bagaimanapun, seorang lagi individu yang dipercayai berkaitan kes berkenaan dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan kini menerima rawatan di hospital.
Sumber memaklumkan SPRM dijangka mendapatkan perintah reman terhadap individu berkenaan di hospital.
Siasatan itu susulan pembukaan tujuh kertas siasatan oleh SPRM minggu lalu berkaitan dakwaan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Operasi khas berskala besar dikenali sebagai Ops Fella itu memberi tumpuan terhadap urusan pelaburan serta pengambilalihan aset Felda dan FIC sepanjang tempoh 10 tahun, iaitu dari 2010 hingga 2020.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, sebelum ini memaklumkan enam daripada tujuh kertas siasatan itu dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi merupakan kes lama yang masih aktif dan kini melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Antara transaksi yang menjadi perhatian SPRM ialah pelaburan dalam Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd di Limbang, Sarawak, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.
Siasatan turut merangkumi penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House, selain dakwaan penyelewengan berkaitan pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).










