KOTA BHARU: Muktamar PAS Ke-72 hari ini sebulat suara meluluskan usul memperkasa agenda penyatuan ummah bagi mengukuhkan kekuatan politik Melayu-Islam serta menjamin kestabilan negara.
Usul yang dikemukakan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) itu merupakan antara tujuh usul yang dipersetujui pada hari terakhir muktamar tahunan parti itu yang bertemakan ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’.
Ketika membentangkan usul berkenaan, wakil DUPP Zulqarnain Hassan berkata perpecahan politik berpanjangan boleh melemahkan keupayaan umat Islam dalam menentukan hala tuju negara, sekali gus menuntut penyatuan ummah dijadikan agenda strategik merentasi kepentingan kepartian.
Pandangan itu disokong perwakilan PAS Indera Mahkota Nasrudin Hassan Tantawi yang menekankan bahawa penyatuan tersebut berteraskan pengurusan perbezaan secara beradab tanpa mengorbankan prinsip Islam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar PAS Ke-72 Ahmad Fadhli Shaari memberitahu sebanyak 33 usul diterima dengan empat daripadanya diluluskan untuk perbahasan manakala tiga lagi diterima tanpa bahas.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS berkata tiga usul lain yang dibahaskan merangkumi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat ‘Mafia Korporat’, reformasi tenaga kerja sektor kesihatan, serta pemerkasaan rantaian pengeluaran padi beras negara.
Manakala usul diterima tanpa bahas antaranya mendesak Kerajaan Persekutuan menghentikan lesen perjudian serta memperkukuh kuasa kerajaan negeri dalam membendung aktiviti berkenaan.










