PETALING JAYA: Isu pengagihan peruntukan secara saksama kepada semua wakil rakyat bakal dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Isnin ini sebelum diangkat ke peringkat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi DAP Gobind Singh Deo berkata pelaksanaan agihan peruntukan secara saksama merangkumi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang itu selari dengan prinsip perjuangan parti dan PH bagi memastikan tiada diskriminasi politik.
“Saya secara konsisten menyatakan pendirian DAP dan PH untuk memberi peruntukan sama rata kepada semua.
“Apabila seseorang diberikan amanah menjadi wakil rakyat, mereka pastinya memerlukan bantuan terutama dana. Kita kena hormat keputusan pengundi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak projek naik taraf Padang SS 2/45 di sini hari ini.
Gobind berkata perkara berkenaan turut dibincangkan bersama Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow, dan beliau menggesa agar pelaksanaan dasar itu dimuktamadkan serta direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Beliau yang juga Menteri Digital menambah perbincangan itu susulan syornya bulan lepas berhubung penggubalan undang-undang khas bagi menjamin agihan peruntukan secara telus tanpa mengikut budi bicara politik, yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik saranan tersebut untuk dipertimbangkan menjelang 2027.
Mengenai hala tuju kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Gobind berkata pendirian rasmi mengenai perkara itu akan diperjelas menerusi satu sidang media khas kelak.










