KOTA BHARU: Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang bakal menyaksikan dimensi baharu pertempuran politik tanah air menerusi penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai senjata utama parti.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu perlu bersiap sedia menghadapi medan baharu berkenaan bagi memastikan maklumat dan mesej perjuangan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Menurut beliau, sebagai langkah awal, Lajnah Penerangan PAS Pusat telah berjaya melahirkan seramai 43 graduan menerusi Akademi Influencer PAS fasa pertama.
“Daripada 81 orang pendaftaran awal, 43 orang telah berjaya menamatkan kursus dan bergraduasi.
“Mereka ini akan menjadi ‘frontliner’ bertempur di medan maya, menghasilkan video-video, menjawab isu-isu dan menjadi antara tenaga kita untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, susulan kejayaan itu, pihak parti akan melancarkan Akademi Influencer 2.0 dengan penyertaan yang lebih meluas dari seluruh negara.
“Pertempuran PRU16 ini akan menyaksikan pertempuran ala AI yang akan menjadi senjata utama kita untuk berlawan dengan musuh dalam pilihan raya umum akan datang,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan Kelantan menyumbang lebih 60 peratus daripada kewangan bulanan akhbar rasmi parti, Harakah.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan-kerajaan negeri lain serta kawasan parti turut memberikan komitmen berterusan bagi memastikan akhbar cetak berkenaan dapat terus beroperasi.
“Harakah kita ini milik kita semua. Kita merupakan satu-satunya parti yang masih bertahan dengan akhbar cetak.
“Saya rakamkan ucapan terima kasih khusus kepada Kelantan kerana lebih 60 peratus kewangan Harakah setiap bulan dibantu oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mengedarkan ‘surat cinta’ tidak lama lagi bagi mengumpul tunggakan hutang daripada kawasan-kawasan yang mencecah lebih RM1 juta.
Mengulas mengenai persediaan jentera penerangan, Ahmad Fadhli memaklumkan bahawa audit penerangan akan dijalankan di setiap negeri bagi memastikan perkhidmatan stesen ‘podcast’ parti dapat dihidupkan sepenuhnya menjelang PRU16.










