DAPSY Sokong Gesaan Peguam Negara Semak Semula Kes 47 Pertuduhan Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyokong gesaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya Peguam Negara (AG) menyemak semula keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 47 pertuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi.

DAPSY berkata semakan itu termasuk mempertimbangkan kemungkinan untuk meneruskan semula pendakwaan sekiranya bukti dan kedudukan undang-undang didapati kukuh serta mempunyai justifikasi mencukupi.

Menurut Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY, langkah itu penting bagi memastikan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang terus dipertahankan.

“DAPSY menyokong penuh gesaan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer supaya Peguam Negara menyemak keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan rasuahnya, termasuk kemungkinan meneruskan semula pendakwaan sekiranya bukti dan keadaan undang-undang adalah kukuh dan berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DAPSY berpandangan gesaan berkenaan bukan semata-mata berkaitan satu kes tertentu, sebaliknya turut menyentuh soal kredibiliti agenda reformasi institusi negara.

Menurutnya, Kerajaan MADANI telah menunjukkan kesungguhan politik dalam memerangi rasuah menerusi tindakan terhadap beberapa bekas menteri dan ahli politik.

Bagaimanapun, DAPSY memberi amaran kredibiliti usaha itu boleh terjejas sekiranya standard sama dilihat tidak diterapkan terhadap ahli politik yang berada dalam kerajaan.

“Usaha kerajaan membanteras rasuah tidak boleh membenarkan wujudnya kawasan kelabu atau ‘zon politik khas’ yang membuka ruang kepada pengecualian.

“Hanya dengan menerapkan standard yang sama terhadap semua kes, kerajaan dapat memperkukuh kedaulatan undang-undang dan membina semula keyakinan masyarakat terhadap agenda reformasi institusi dalam memerangi rasuah,” katanya.

DAPSY turut merujuk keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022 yang memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid kemudiannya diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) selepas pihak pendakwaan memohon supaya kes berkenaan dihentikan.

DAPSY berkata perkembangan berkaitan kes itu, termasuk keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA), berisiko menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman dan pendakwaan dalam jangka panjang.

Justeru, DAPSY menggesa Peguam Negara mengamalkan tahap ketelusan tertinggi dalam mengendalikan kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam, termasuk memberikan penjelasan terperinci mengenai asas perundangan dan alasan sesuatu keputusan dibuat.

“Peguam Negara perlu menunjukkan profesionalisme yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan kuasa pendakwaan bagi menangani sepenuhnya kebimbangan masyarakat terhadap kebebasan sistem pendakwaan,” katanya.

Pada masa sama, DAPSY menggesa kerajaan mempercepatkan agenda reformasi institusi, khususnya usaha memisahkan peranan dan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko campur tangan politik dalam sistem pendakwaan.

DAPSY berkata generasi muda mahukan institusi yang bersih, telus dan menggunakan standard sama terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan politik.

Sehubungan itu, DAPSY menggesa Peguam Negara meneliti semula bukti dan pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan pentadbiran keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Malaysia hanya boleh bergerak ke arah sebuah masyarakat demokratik yang benar-benar matang dengan mempertahankan kedaulatan undang-undang serta memastikan pertimbangan politik tidak mengatasi keadilan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles