SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi tempoh 30 hari kepada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras DUN untuk memulangkan baki peruntukan yang diterima daripada pentadbiran terdahulu.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata notis tuntutan bayaran balik diserahkan kepada semua pihak terbabit petang semalam.
Katanya, jumlah bayaran balik berbeza mengikut penerima, manakala tindakan susulan akan diambil sekiranya bayaran tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan.
“Kita memberikan mereka tempoh 30 hari untuk membayar balik kepada kerajaan negeri.
“Sekiranya gagal menjelaskan baki peruntukan dalam tempoh diberikan, tindakan susulan akan dikenakan,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, hari ini.
Menurutnya, setakat ini hanya seorang ADUN PH, iaitu bekas Menteri Besar, Aminuddin Harun, yang telah memulangkan peruntukan berkenaan.
Isu itu sebelum ini menjadi perhatian susulan dakwaan peruntukan RM180,000 disalurkan kepada ADUN PH dan diluluskan sehari sebelum pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.
Perkara itu dibangkitkan pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 18 Ogos lalu.
Ia susulan penularan surat sumbangan kewangan bagi kesejahteraan rakyat berjumlah RM180,000 kepada ADUN PH bagi tempoh Julai hingga September. Surat bertarikh 4 Jun itu dikeluarkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Ismail sebelum ini menjelaskan peruntukan bagi tempoh berkenaan perlu dipulangkan berikutan pembubaran DUN.
Berdasarkan pecahan dinyatakan, setiap bekas Exco perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan Ogos dan September.
Sementara itu, 10 ADUN PH serta dua penyelaras DUN Labu dan Paroi masing-masing perlu memulangkan RM174,000 dan RM150,000 bagi peruntukan Julai hingga September.
Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Nilai, J Arul Kumar, sebelum ini menggesa kerajaan negeri mengkaji semula arahan berkenaan.
Beliau berkata sebahagian peruntukan itu telah digunakan untuk membantu kebajikan rakyat, malah ada ADUN yang membelanjakannya sepenuhnya.
Katanya, usaha memulangkan peruntukan itu juga sukar kerana jumlahnya besar, selain disalurkan secara suku tahunan dan bukannya bulanan.










