Jenayah Siber Hampir Berganda, Kerugian Cecah RM2.97 Bilion — Saifuddin

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 66,204 kes jenayah siber dengan kerugian RM2.97 bilion sepanjang 2025, berbanding 35,368 kes membabitkan kerugian RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata angka berkenaan menunjukkan peningkatan sekali ganda ketika ancaman jenayah siber terus berkembang seiring kemajuan teknologi.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sekali ganda,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Antarabangsa mengenai Kebingkasan Siber, hari ini.

Persidangan bertemakan Navigating Challenges and Opportunities in Global Cyber Resilience itu menghimpunkan wakil agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, ahli akademik, penyelidik dan pemain industri bagi membincangkan cabaran keselamatan serta kebingkasan siber.

Saifuddin berkata laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menunjukkan operasi penipuan atau scam di Asia Tenggara sahaja menjana puluhan bilion dolar setiap tahun.

Menurutnya, perubahan modus operandi penjenayah menuntut kerajaan dan agensi penguatkuasaan turut mengubah pendekatan dalam melindungi rakyat.

“Apabila penjenayah mengubah cara mereka melakukan jenayah, kita juga mesti mengubah cara kita melindungi rakyat,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran baharu yang perlu diberikan perhatian ialah penggunaan kecerdasan buatan generatif (AI generatif) oleh penjenayah.

“Siapa yang menang dalam pertarungan berjaya menguasai generative AI ini, dialah yang berjaya.

“Kalau penguat kuasa yang dapat menguasainya dengan cepat, maka ada kelebihan. Begitu sebaliknya, kalau penjenayah ini yang cepat menguasainya, merekalah yang akan dapat memakan lebih banyak mangsa,” katanya.

Menurut Saifuddin, kerajaan khususnya agensi penguatkuasaan perlu segera menerima penggunaan AI dan tidak sekadar menjadi pemerhati terhadap perkembangan teknologi berkenaan.

Katanya, Malaysia mungkin tidak berada pada kedudukan sama dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China dari segi penguasaan teknologi AI, namun tiada halangan untuk negara memperluaskan aplikasinya.

Penggunaan AI, katanya, boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan produktiviti, menjimatkan perbelanjaan serta menghasilkan mutu kerja lebih baik.

Dalam konteks keselamatan, teknologi itu perlu dimanfaatkan pembuat dasar dan agensi penguatkuasaan bagi menghadapi penjenayah yang semakin canggih, celik teknologi dan beroperasi secara rentas sempadan.

“Ketika pelaku jenayah itu sudah menguasainya, kita tak boleh berada di takuk lama. Kalau tak dapat outpace, kalau tak dapat mengatasi pun, mesti at par,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana teknologi kini membolehkan penjenayah meniru suara serta menghasilkan paparan tangkap layar palsu bagi meyakinkan mangsa.

“Dari segi suaranya, dari segi screenshot keuntungannya, ini semua sekali. So itu cabaran yang saya kata tak boleh kita uruskan gaya lama,” katanya.

Kesiapsiagaan KDN terhadap AI 75 peratus

Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperkenalkan pendekatan “KDN for AI, AI for KDN” kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, Bahagian Dasar KDN ketika itu menjalankan tinjauan bagi mengukur tahap kesediaan warga kementerian menerima penggunaan AI.

Tinjauan berkenaan merangkumi kementerian serta agensi di bawah KDN termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Penjara.

“Bila kita gabungkan semua itu, overall tahap kesiapsiagaan kami adalah 75%. Ini as of 3 tahun lepas bila Bahagian Dasar KDN saya minta untuk buat dulu survey,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin mengakui beliau masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan tahap penggunaan teknologi berkenaan kerana masih terdapat banyak ruang untuk dipertingkatkan.

“Apakah saya sudah berpuas hati? Tentulah keseluruhannya belum, sebab saya masih nampak banyak ruang lagi. Apakah kita bergerak ke arah itu? Ya. Apakah kita bersedia komitmen itu? Jawabnya ya,” katanya.

Beliau berkata penguasaan teknologi AI lebih penting dalam kalangan agensi penguatkuasaan, khususnya polis yang kini memimpin Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

NSRC pulangkan RM5.16 juta

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata NSRC yang kini beroperasi 24 jam dan berpejabat di Cyberjaya berjaya memulangkan RM5.16 juta daripada RM7.94 juta yang disita.

“Kita rekodkan RM5.16 juta berjaya dipulangkan daripada RM7.94 juta yang disita. Angka ini bermaksud 65% berjaya kita pulangkan.

“Apa yang diharapkan oleh mangsa ialah kita dapat pulangkan balik duit mereka,” katanya.

Sementara itu, Op Cyber Guardian yang dilaksanakan menerusi kerjasama tujuh negara membawa kepada penahanan 69 individu sehingga April 2026.

Operasi berkenaan turut menyaksikan 498,694 fail digital dirampas, termasuk 205,000 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Saifuddin berkata kes bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) meningkat daripada 68 kes pada 2024 kepada 152 kes pada 2025, manakala 100 lagi kes direkodkan sehingga pertengahan 2026.

Menurutnya, dianggarkan 100,000 kanak-kanak berdepan eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian setiap tahun.

Beliau turut memaklumkan sehingga 28 Ogos 2026, seramai 746 rakyat Malaysia menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.

Polis pula berjaya menyelamatkan 138 individu dalam kes eksploitasi buruh paksa menerusi 77 serbuan di seluruh negara.

Saifuddin berkata ancaman siber yang semakin kompleks memerlukan kerjasama antara kerajaan, penguat kuasa, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri tanpa bekerja secara silo.

Menurutnya, kebingkasan siber mempunyai skop lebih luas berbanding keselamatan siber kerana ia turut merangkumi kemampuan sesebuah negara untuk bangkit selepas serangan, mengatasi kesannya, melakukan pembetulan dan memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.

“Cyber resilience maknanya bila serangan siber berlaku kepada negara, negara kita bingkas bangun, mampu bangun, mampu atasi, mampu memperbetulkan, kemudian mampu untuk melakukan koreksi diri.

“Yang paling penting ialah keselamatan di kalangan rakyat itu terjaga.

“Sebab itu temanya tak sama; cyber security lain, cyber resilience lain. Cyber resilience ini lebih besar dalam konteks perbincangan kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles