PUTRAJAYA: Dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), kini memasuki fasa siasatan besar-besaran apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tujuh kertas siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan menerusi operasi khas berskala besar dikenali OPS FELLA itu meliputi urusan pelaburan dan pengambilalihan aset FELDA serta FIC sepanjang tempoh 10 tahun, dari 2010 hingga 2020.
Menurutnya, enam daripada tujuh kertas siasatan berkenaan merupakan kes baharu yang dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi adalah kertas siasatan lama yang masih aktif dan kini melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Katanya, enam siasatan baharu itu memberi tumpuan kepada dakwaan pembelian serta pelaburan aset pada harga yang jauh melebihi nilai sebenar berdasarkan penilaian.
“Enam kertas siasatan baharu itu dibuka membabitkan isu pembelian dan pelaburan aset pada harga yang melebihi nilai penilaian sebenar, sekali gus dipercayai menyebabkan kerugian dialami oleh pihak FELDA secara keseluruhannya,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Siasatan berkenaan dilihat memberi tumpuan khusus terhadap urus niaga dan keputusan pelaburan yang dibuat dalam tempoh berkenaan bagi mengenal pasti sama ada berlaku unsur penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah.










