PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pajakan hotel di Arab Saudi yang dikaitkan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira 4.30 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.
SPRM menjalankan siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran dalam sesuatu urusan.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 24 akta sama.
Terdahulu, bekas menteri itu tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 10.25 pagi tadi dengan menaiki kenderaan SPRM.










