PUTRAJAYA: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mencetuskan provokasi sehingga berlaku rempuhan dan kekecohan ketika orang ramai menunggu pembukaan pagar tempat duduk sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, awal pagi kelmarin.
Suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai tukang masak itu ditahan di Putrajaya kira-kira tengah hari semalam selepas polis menerima lima laporan berkaitan kejadian berkenaan.
Provokasi suspek dipercayai menyebabkan orang ramai yang berada berhampiran bertindak merempuh barisan hadapan bagi mendapatkan tempat duduk, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal.
Dalam kejadian itu, beberapa individu dilaporkan terjatuh dan mengalami kecederaan selepas berlaku tolak-menolak dalam kalangan orang ramai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan penahanan lelaki berkenaan dan berkata siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
“Ya, kita telah menahan lelaki berbaju oren ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan. Lelaki berkenaan juga diminta hadir ke IPD Putrajaya bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa rakaman video kejadian tular di media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju oren atau coklat dipercayai melakukan provokasi, selain merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pagar tempat duduk dibuka.
Tindakan itu dipercayai mencetuskan keadaan sesak dan tolak-menolak sehingga beberapa individu terjatuh.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika orang ramai mula memenuhi kawasan Dataran Putrajaya bagi menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.










