SMART Masih Tunggu Lampu Hijau Nepal Untuk Misi SAR

KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih menanti kebenaran Kerajaan Nepal sebelum dapat dikerahkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir besar serta tanah runtuh yang melanda negara itu.

Komander SMART, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan Nepal berhubung permohonan pengaktifan misi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kesiapsiagaan pasukan itu berada pada tahap optimum dan SMART boleh digerakkan sebaik sahaja mendapat arahan.

“Kelengkapan aset operasi dan personel (anggota) bersiap sedia untuk sebarang pengaktifan,” katanya.

Misi bantuan berkenaan turut melibatkan penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar (KLN).

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan mengumumkan keputusan kerajaan untuk menghantar SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR selepas negara berkenaan dilanda bencana banjir dan tanah runtuh.

Selain menjalankan operasi menyelamat, SMART turut diberi tanggungjawab membantu mengesan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.

Pasukan itu juga akan membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras keperluan bantuan, selain memastikan aspek keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara berkenaan diberi perhatian.

Dalam perkembangan berkaitan, KLN sebelum ini memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku di daerah Rasuwa pada 26 Ogos lalu.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan berikutan skala bencana yang besar serta gangguan kepada akses dan komunikasi di kawasan terjejas.

BBerkaitan

Latest articles