KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengecam tindakan seorang individu yang dipercayai menyertai pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Menurut beliau, penyertaan individu terbabit bukan sahaja boleh menjejaskan imej Malaysia, malah bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai budaya dan kesopanan yang menjadi pegangan masyarakat negara ini.
Beliau menegaskan, mana-mana penganjuran atau penyertaan dalam acara seumpama itu tidak pernah mendapat sokongan, kebenaran mahupun pengiktirafan daripada kerajaan atau pihak berkuasa agama Malaysia.
“Perbuatan menyerupai jantina berlawanan serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum Syarak dan dilarang di bawah perundangan Syariah di negeri-negeri.
“Jelas sekali, perkara seperti ini tidak selari dengan prinsip agama dan nilai yang kita pegang,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu itu tercetus selepas rakaman seorang peserta yang dipercayai transgender dan membawa nama Malaysia dalam pertandingan berkenaan tular di media sosial.
Penularan rakaman itu turut mencetuskan dakwaan bahawa pertandingan tersebut berlangsung di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman menjelaskan lokasi acara berkenaan sebenarnya di Bangkok, Thailand, dan bukannya di negeri itu.
Beliau berkata, semakan yang dilakukan mendapati penganjur pertandingan berkenaan turut menyenaraikan seorang peserta yang mewakili Malaysia.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk meneliti langkah sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau pada masa sama menyeru masyarakat supaya tidak memberikan perhatian secara berlebihan atau mengangkat perkara yang bertentangan dengan syariat.
“Masyarakat dianjurkan agar tidak mensensasi atau mengagung-agungkan perkara yang menyalahi syariat, sebaliknya bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah ummah,” katanya.










