Agong, Raja Permaisuri Agong Zahir Ucapan Selamat Hari Kebangsaan Ke-69

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ucapan berkenaan dizahirkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Baginda berdua turut berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya pada jam 8 pagi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sambutan tahun ini membawa tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, yang mengetengahkan aspirasi sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat selain menghormati kepelbagaian.

Acara dimulakan dengan istiadat ketenteraan sebelum diteruskan dengan persembahan pentas serta perarakan dan perbarisan penuh warna-warni.

Sebanyak 10,819 peserta mengambil bahagian dalam perarakan membabitkan 76 kontinjen, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.

Turut dipamerkan ialah 328 aset darat, laut dan udara, 112 haiwan dalam perkhidmatan serta 22 unit aset kenderaan elektrik (EV).

Sambutan turut diserikan dengan persembahan grafik manusia di teres, sekali gus menambah kemeriahan acara yang meraikan semangat patriotisme dan kepelbagaian rakyat Malaysia.

Lebih 80,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Putrajaya. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles