Adakah UMNO Kini ‘Dikorbankan’ Demi Imej Reformasi Kerajaan? – Rafique Rashid

KUALA LUMPUR: Perkembangan semasa yang menyaksikan rentetan pertuduhan di mahkamah memberi gambaran seolah-olah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang ‘membeli masa’ menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa, slogan reformasi yang dilaungkan kerajaan kononnya tegas melawan rasuah dan memperbetulkan kepincangan lalu sekadar mengagihkan ‘topeng kuasa’.

Menurut beliau, proses reformasi sebenar bukannya bermaksud mengeluarkan laporan atau kes lama secara mendadak apabila tempoh pilihan raya semakin menghampiri.

“Reformasi bermaksud pendakwaan tidak memilih kawan atau lawan.

“Ia bermaksud institusi penguatkuasaan bertindak berdasarkan bukti dan undang-undang, bukannya mengikut keperluan politik pihak yang memerintah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Rafique menyentuh mengenai kerjasama politik antara Anwar dan UMNO yang digunakan bagi membina serta mempertahankan Kerajaan Perpaduan, termasuk membangkitkan isu 47 Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA) sebelum ini.

Beliau mempersoalkan sama ada UMNO kini mula dijadikan ‘korban’ bagi menyuntik nafas baharu terhadap imej reformasi kerajaan yang didakwanya semakin tercabar.

“Ini bukan pembelaan terhadap mana-mana individu yang mungkin melakukan kesalahan, sebaliknya tuntutan agar proses keadilan itu sendiri tidak diperalatkan.

“Siasatlah semua dan dakwalah sesiapa sahaja jika terdapat bukti. Namun, jangan simpan sesuatu perkara bertahun-tahun ketika ia menguntungkan kerajaan, kemudian mengeluarkannya pada saat ia paling berguna dari sudut politik,” tegasnya.

Tambah beliau, rakyat kini semakin bijak menilai bukannya sekadar bertanya mengenai siapa yang bersalah dalam isu pengurusan Tabung Haji atau penerima rasuah projek tertentu.

“Persoalan utama yang akan ditanya rakyat ialah mengapa kerajaan memilih untuk bertindak sekarang dan siapakah yang mendapat keuntungan politik daripada pertuduhan yang dikenakan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles