PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai dakwaan terdapat warganegara Malaysia yang terkorban dalam bencana banjir di Daerah Rasuwa, Nepal.
Wisma Putra dalam satu pemakluman media berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Nepal susulan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kemalangan jiwa membabitkan rakyat Malaysia.
“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai sebarang kemalangan jiwa yang melibatkan warganegara Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Wisma Putra menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung situasi berkenaan.
Kementerian turut meminta pengamal media supaya tidak menerbitkan atau menyebarkan laporan mengenai dakwaan terbabit selagi tiada pengesahan rasmi.
“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh mencetuskan kebimbangan dan tekanan yang tidak sepatutnya kepada ahli keluarga terlibat,” tegas kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu.
Kerjasama itu bertujuan mendapatkan maklumat sahih mengenai keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia yang mungkin terjejas akibat bencana berkenaan.
Pegawai konsular di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing turut diaktifkan bagi membantu mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan.
Menurut Wisma Putra, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya juga telah mula beroperasi sejak jam 12 tengah hari bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi secara langsung kepada warganegara Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya di kawasan terjejas dan kawasan berhampiran, dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan.
Mereka juga diminta mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia di Nepal supaya mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular bagi memudahkan kementerian menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.
Kementerian Luar Negeri berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan bencana berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai sebaik sahaja pengesahan sahih diperoleh.










