Lelaki Maut Terjatuh Dari Bangunan, Isteri Dan Dua Anak Ditemukan Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 48 tahun ditemukan maut dipercayai selepas terjatuh dari sebuah bangunan kediaman di Desa ParkCity, Kepong, petang semalam.

Lebih memilukan, isteri mangsa berusia 47 tahun serta dua anak mereka, masing-masing lelaki berusia sembilan tahun dan perempuan berusia tujuh tahun, turut ditemukan meninggal dunia dalam unit kediaman keluarga berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 3.32 petang sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, maklumat awal memaklumkan seorang lelaki terjatuh dari bangunan kediaman terbabit.

“Susulan itu, polis bersama pihak bomba membuka pintu unit kediaman berkenaan dan menemui isteri mangsa serta dua anak mereka.

“Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, Fadil berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

BBerkaitan

Latest articles