KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil langkah rasmi dengan menghantar surat kepada Sekretariat ASEAN bagi mendapatkan perhatian serius badan serantau itu terhadap isu kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan yang kini menjejaskan negara, khususnya Sarawak.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, surat berkenaan dihantar oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pihak berkaitan bagi memastikan isu tersebut diberi perhatian di peringkat ASEAN.
Menurutnya, Mohamad juga dijangka membangkitkan perkara itu dalam perbincangan bersama menteri luar negara anggota ASEAN, termasuk keperluan setiap negara mengambil tanggungjawab masing-masing bagi menangani kebakaran hutan serta kesan jerebu rentas sempadan.
Katanya, isu berkenaan turut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa khas yang diwujudkan untuk menyelaras tindakan menangani masalah jerebu, termasuk keadaan yang berlaku di Sarawak.
“Mereka akan bincang perkara ini dengan lebih lanjut. Saya pun tak berapa pasti apa strategi yang mereka lakukan kerana beliau ada komuniti khas untuk membincangkannya.
“Jadi saya ingat kita tunggu mereka dan gerak kerja jawatankuasa mereka,” katanya.
ASEAN perlu main peranan
Sebelum ini, Mohamad memaklumkan Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengemukakan surat kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn serta Kerajaan Indonesia berhubung kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan yang melanda negara.
Beliau berkata, tindakan mendapatkan perhatian Sekretariat ASEAN penting kerana badan serantau itu mempunyai peranan dalam menyelaras usaha menangani isu alam sekitar yang merentasi sempadan negara anggota.
Malaysia kini berdepan episod jerebu, terutama di Sarawak, yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan titik panas di rantau ini.
Tindakan menghantar surat rasmi kepada ASEAN dan Indonesia dilihat sebagai langkah Malaysia untuk memastikan isu jerebu rentas sempadan tidak sekadar ditangani di peringkat domestik, sebaliknya mendapat komitmen bersama negara anggota bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan.










