KUALA LUMPUR: FELDA tidak akan berkompromi sekiranya terdapat sebarang kelemahan atau salah laku yang boleh menjejaskan kepentingan peneroka susulan pelaksanaan Program Pembangunan Tanam Semula di Felda Palong 7, Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkata, semakan menyeluruh akan dibuat terhadap program berkenaan, termasuk aspek tatakelola, perolehan, kerja di lapangan, kualiti bahan tanaman serta pengurusan operasi oleh FELDA Plantation Management Sdn Bhd (FPMSB).
Menurut FELDA, semua perkara yang dibangkitkan akan dinilai berdasarkan fakta, rekod dan prosedur sedia ada tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan.
“FELDA tidak akan berkompromi terhadap sebarang perkara yang boleh menjejaskan kepentingan peneroka atau integriti organisasi,” katanya.
Pada masa sama, FELDA memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya agensi berkenaan menjalankan semakan atau siasatan berkaitan isu tersebut.
FELDA berkata, laporan media dan dakwaan berhubung pelaksanaan program tanam semula di kawasan terbabit dipandang serius.
“FELDA kekal komited untuk memastikan setiap amanah pengurusan ladang dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi kesejahteraan peneroka,” katanya.
Sebelum ini, program pembangunan dan tanam semula kelapa sawit di Felda Palong 7 dilaporkan berada dalam radar SPRM selepas agensi antirasuah itu menerima maklumat mengenai pelaksanaannya.
FELDA menegaskan penelitian tersebut akan mengambil kira keseluruhan aspek program bagi memastikan kepentingan peneroka terus dilindungi dan tatakelola organisasi sentiasa berada pada tahap terbaik.










