KUALA LUMPUR: Rakyat diminta tidak menjadikan isu Rohingya sebagai alasan untuk memboikot sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya menggunakan kesempatan itu bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan Hari Kebangsaan tidak wajar dipengaruhi emosi atau rasa tidak puas hati terhadap isu tertentu yang berlaku dalam negara.
Menurut beliau, Malaysia adalah tanah air bersama dan sebarang perbezaan pandangan tidak seharusnya menyebabkan rakyat meminggirkan sambutan penting berkenaan.
“Malaysia adalah tanah tempat tumpah darah kita. Malaysia adalah rumah kita. Rasmi tuan rumah, kita tidak akan berhenti menjaga dan menghiasi rumah hanya kerana tidak bersetuju dengan kehadiran pihak yang tidak kita undang.
“Jangan lepaskan peluang menzahirkan rasa kasih dan sayang pada tanah air hanya kerana kita tidak berpuas hati dengan sesetengah isu yang melanda negara,” katanya selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, menurut Harian Metro.
Beliau berkata, semangat patriotisme yang dizahirkan rakyat juga mampu menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia tidak akan membiarkan negara ini dijadikan medan politik dan polemik mana-mana pihak.
Kenyataan itu susulan gesaan di media sosial supaya rakyat memboikot sambutan Hari Kebangsaan atau membawa sepanduk berkaitan isu Rohingya ke Dataran Putrajaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khaled menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan wilayah negara dijadikan tempat persembunyian mana-mana pihak yang menggunakan kekerasan serta menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius perkembangan keselamatan di kawasan berkenaan dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan konflik tidak merebak ke Malaysia.
“Kita akan berikan segala kerjasama kepada pihak berkuasa Thailand untuk memastikan ini tidak berlaku,” katanya, menurut Bernama.
Pada masa sama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketat kawalan serta pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi menghalang sebarang cubaan menyusup masuk.
“Kita akan pastikan tak ada anasir-anasir yang menyusup ke Malaysia,” katanya.
Khaled turut mengesahkan ATM sudah mengemukakan beberapa nama kepada Perdana Menteri sebagai calon fasilitator baharu proses damai di selatan Thailand susulan tamatnya khidmat Rabin Basir sebagai fasilitator kerajaan Malaysia.
Sabtu lalu, beberapa siri serangan pembakaran dilaporkan berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala, menyasarkan bangunan kerajaan, kedai serbaneka, kenderaan serta tiang utiliti.
Sekurang-kurangnya tiga individu dilaporkan cedera dalam insiden di Narathiwat, manakala lebih 50 kejadian termasuk pengeboman dan pembakaran dilaporkan berlaku di tiga wilayah berkenaan sepanjang hujung minggu lalu.
Susulan itu, Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam Sabtu hingga 6 pagi Ahad.










