KUALA LUMPUR: Tiga tokoh termasuk seorang ahli politik bergelar Datuk Seri yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini bagi mendapatkan perintah reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Turut dibawa ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, masing-masing bergelar Tan Sri.
Ketiga-tiga mereka tiba kira-kira jam 9.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna oren.
Permohonan reman dibuat SPRM di hadapan Majistret Ezrene Zakariah susulan siasatan berkaitan pendedahan dan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Sebelum ini, bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dilaporkan ditahan kira-kira jam 4 petang semalam, manakala bekas CEO TH pula telah direman tujuh hari sejak Jumaat lalu.
Siasatan SPRM berkaitan laporan RCI TH sebelum ini menyaksikan tujuh individu ditahan dan dipanggil untuk membantu siasatan.
Mereka termasuk bekas CEO sebuah syarikat perkapalan, pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.










