Kerajaan Gerakkan Usaha Selamatkan Rakyat Malaysia Terjejas Banjir Di Nepal

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan sedang menggerakkan segala usaha bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir kilat di Nepal.

Beliau berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal serta agensi berkaitan bagi menyelaras usaha mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.

Katanya, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan bagi membantu memperkukuh penyelarasan operasi di lapangan.

“Kerajaan Madani menerusi Kementerian Luar Negeri (KLN) akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan menggembleng segala ikhtiar yang diperlukan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas diberi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau amat dukacita selepas dimaklumkan KLN bahawa seramai 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini.

Menurutnya, usaha mengesan kesemua mereka dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan terkini mangsa sedang dipergiatkan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan agar kesemua mereka segera ditemui dalam keadaan selamat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, media antarabangsa melaporkan jumlah korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-China meningkat kepada 160 orang.

Lebih 680 individu termasuk pelancong, pengembara, anggota keselamatan, pekerja serta penduduk tempatan di kedua-dua negara turut dilaporkan masih hilang susulan bencana berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles