SUBANG JAYA: Kegagalan meluncur dipercayai menyebabkan sebuah roller-coaster di taman tema Sunway Lagoon berhenti secara mengejut sebelum mencederakan 10 penumpang, Sabtu lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, pemeriksaan awal mendapati jentera yang membawa 22 penumpang itu pada mulanya beroperasi seperti biasa sebelum mengalami kegagalan kira-kira 200 meter dari kawasan pelepasan.
Menurutnya, keadaan berkenaan menyebabkan sistem brek kecemasan diaktifkan secara automatik, sekali gus menghentikan jentera secara mendadak.
“Susulan penghentian pergerakan mengejut berkenaan, seramai 10 orang penumpang dihantar ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan akibat kesan hentakan,” katanya dalam kenyataan.
JKKP Selangor turut mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan serta pemeriksaan teknikal dijalankan Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Putrajaya.
Siasatan lanjut turut melibatkan proses mengambil keterangan daripada pihak majikan dan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Mamat mengesahkan 10 pengunjung mengalami kecederaan ringan dalam insiden kira-kira jam 9 malam itu.
Kesemua mangsa berusia antara 11 hingga 44 tahun dan terdiri daripada rakyat Malaysia serta pelancong asing.
Kejadian berkenaan turut mencetuskan perhatian selepas beberapa rakaman video tular di media sosial, termasuk video yang menunjukkan seorang wanita diusung berhampiran landasan roller-coaster terbabit.










