Audit Forensik Felda Bakal Dibawa Ke Kabinet – Anwar

SERDANG: Cadangan menjalankan audit forensik terhadap Felda bakal dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi menentukan tindakan selanjutnya berhubung cadangan berkenaan.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Cadangan audit forensik itu sebelum ini disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu segala dakwaan berkaitan salah guna kuasa dan kelemahan tadbir urus Felda disiasat secara menyeluruh.

Ahmad Zahid pada Ahad lalu berkata audit berkenaan penting bagi merungkai secara jelas punca kerugian yang ditanggung Felda, selain mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Beliau turut menyatakan keterbukaan terhadap kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu membabitkan Felda, namun menegaskan langkah itu tidak seharusnya dijadikan alat untuk menganiaya atau memalukan mana-mana pihak.

Sebaliknya, tegas Ahmad Zahid, jika siasatan menemukan bukti kukuh berhubung salah laku, pihak yang bertanggungjawab perlu berdepan tindakan undang-undang.

Isu kedudukan kewangan Felda kembali menjadi perhatian selepas Anwar awal bulan ini mendedahkan agensi berkenaan mengalami kerugian hampir RM10 bilion, yang dikaitkan dengan salah urus dan campur tangan politik secara berlebihan.

Perdana Menteri turut memberi bayangan bahawa kerajaan akan mendedahkan kepada umum laporan pasukan petugas khas mengenai Felda dalam masa terdekat.

Laporan itu dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai kedudukan Felda, termasuk masalah yang diwarisi agensi berkenaan serta faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kewangannya.

BBerkaitan

Latest articles