BN Timbang Untung Rugi Sebelum Tentukan Kerjasama PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya akan menilai terlebih dahulu kesan setiap pilihan terhadap semua pihak.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang keputusan perlu mengambil kira realiti serta dinamika politik di Melaka sebelum dibawa ke peringkat kepimpinan nasional untuk diputuskan.

Menurutnya, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN dan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, telah diberikan tanggungjawab untuk mengetuai rundingan berkaitan kemungkinan kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Perkara utama yang perlu dilihat dalam sebarang rundingan ialah manfaat dan mudarat. Kita perlu memastikan manfaat yang diperoleh lebih besar daripada mudarat.

“Prinsip itu perlu menjadi pertimbangan sekiranya rundingan diadakan dengan mana-mana parti atau gabungan,” katanya selepas menghadiri majlis penutup Program Amal Konvoi Charity Ride Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Super Bike Club bersempena Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama politik yang dibentuk perlu berteraskan kejujuran, keikhlasan dan komitmen untuk menghormati setiap persetujuan yang dicapai.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau ditanya mengenai rundingan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka.

Dalam perkembangan berkaitan, BN turut berdepan kemungkinan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), susulan persefahaman yang dicapai kedua-dua gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pada masa sama, BN Melaka dilaporkan turut menimbang pilihan untuk bergerak solo dalam usaha mempertahankan penguasaannya terhadap 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi pada PRN Melaka 2021.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan hubungan antara BN dan PH di peringkat nasional kekal berada dalam keadaan baik selepas kedua-dua gabungan mencatat kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, kerjasama berkenaan tidak hanya diterjemahkan melalui mesyuarat Kabinet, malah turut melibatkan koordinasi antara kementerian menerusi pendekatan kerajaan secara menyeluruh.

Beliau berkata, kesepakatan itu penting bagi memastikan isu rakyat dapat ditangani dengan berkesan, selain membantu mengekalkan kestabilan politik dan kepentingan negara.

BBerkaitan

Latest articles