KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) kini dipercayai menjadi antara sasaran terbaharu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber memaklumkan, individu berusia lingkungan 60-an itu berkemungkinan dipanggil atau ditahan bagi membantu siasatan SPRM dalam masa terdekat.
Beliau bukan calang-calang tokoh korporat, malah pernah menerajui beberapa organisasi serta syarikat terkemuka di negara ini sepanjang kerjayanya.
Perkembangan itu dilihat signifikan kerana sekiranya penahanan dibuat, individu berkenaan bakal menjadi antara bekas pegawai tertinggi TH paling kanan yang berdepan tindakan reman SPRM berhubung siasatan susulan pendedahan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Memetik BH, SPRM turut sedang meneliti beberapa perkara berkaitan individu berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Usaha mendapatkan pengesahan daripada pegawai kanan SPRM mengenai status siasatan, termasuk kemungkinan permohonan reman dalam tempoh terdekat, sedang dilakukan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada SPRM berhubung kemungkinan penahanan atau reman bekas CEO TH terbabit.










