KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kepada jawatankuasa rundingan yang dipengerusikan kepimpinan parti itu bagi menentukan bentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rundingan berhubung perkara itu kini dikendalikan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, sebarang keputusan mengenai kerjasama antara PH dan BN akan dibincangkan melalui saluran jawatankuasa sedia ada.
“Itu memang dibincangkan oleh jawatankuasa biasa. Kita sudah ada Amiruddin dan Saifuddin untuk bincang,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan PH dan BN mencapai persetujuan bagi menghadapi PRN Melaka.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026, hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Steven Sim.
Sebelum ini, Saifuddin memaklumkan bahawa PH tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka, namun perkara itu memerlukan perbincangan lanjut termasuk dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh.
PRN Melaka dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat berikutan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berakhir pada penghujung tahun ini.
Bagaimanapun, bentuk kerjasama antara PH dan BN bagi menghadapi pilihan raya berkenaan masih belum diputuskan.










