Hadi Dakwa Isu Salah Laku Tabung Haji Diperbesarkan Kerana Jenama Islam

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa isu salah laku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) diberikan perhatian berlebihan kerana institusi itu membawa identiti Islam.

Menurutnya, keadaan itu seolah-olah memberi gambaran buruk terhadap masyarakat Melayu Islam, sedangkan beliau mengakui terdapat salah laku dan penyelewengan dalam institusi kewangan berkenaan.

Dalam tulisan terbaharu Minda Presiden PAS bertajuk Isu Rasuah: Hukum Islam Ditinggalkan, Melayu Islam Dijadikan Sasaran, Hadi mendakwa kepincangan pada skala lebih besar dalam institusi perniagaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menerima perhatian yang sama.

“Maka, kesalahan Tabung Haji dijadikan tajuk utama kerana jenama Islamnya menjadi sasaran,” katanya.

Hadi turut mendakwa kesalahan yang dilakukan segelintir individu dalam TH diperbesarkan sehingga menenggelamkan sumbangan mereka yang menurutnya telah berjasa membangunkan institusi pengurusan dana haji itu.

Katanya, jumlah mereka yang menyumbang kepada pembangunan TH adalah jauh lebih ramai berbanding individu yang didakwa melakukan salah laku.

“Mereka yang berjasa menjayakan Tabung Haji adalah lebih ramai berlipat kali ganda jumlahnya, namun dibesarkan segelintir yang salah laku bagi membesarkan keaiban Melayu Islam dengan niat yang jahat,” katanya.

Dalam tulisannya, Hadi turut mempersoalkan perhatian terhadap isu TH dengan membandingkannya dengan kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“Adapun kes terowong Pulau Pinang, bicaranya separuh jalan, kemudian diam membisu, malah jarang sekali dibunyikan apabila ada suara menyebutnya,” katanya.

Bagaimanapun, perbicaraan kes berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan Lim masih berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kenyataan Hadi mengenai TH dibuat susulan keputusan kerajaan menyahklasifikasikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu pada 29 Julai lalu.

RCI tersebut menjalankan siasatan terhadap pengurusan, operasi dan aset TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, dengan antara dapatan utamanya melibatkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.

Menurut laporan itu, TH merekodkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017, sedangkan berdasarkan piawaian perakaunan yang betul, institusi tersebut sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion.

RCI turut membangkitkan isu berkaitan amalan yang digambarkan sebagai ‘perakaunan kreatif’, kegagalan merekodkan kerugian pelaburan serta pembayaran hibah yang tidak mampan.

Selain itu, laporan berkenaan turut mengesan dakwaan campur tangan politik dan kelemahan tadbir urus, selain mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan lama.

Daripada jumlah itu, tujuh pelaburan yang dikenal pasti dilaporkan mengalami kerugian sehingga 100 peratus.

Susulan dapatan tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi meneliti kemungkinan berlaku rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Polis pula dilaporkan membuka lima kertas siasatan, manakala audit forensik turut dijalankan terhadap pelaburan yang dikenal pasti dalam laporan RCI.

Sementara itu, laporan berkenaan turut dibincangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu.

Namun, semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), kecuali enam Ahli Parlimen daripada Bersatu, tidak mengambil bahagian dalam sidang tersebut susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan tidak hadir kerana sedang menerima rawatan ketika sidang khas itu berlangsung.

BBerkaitan

Latest articles