KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia menyokong Dasar Satu China bukan keputusan baharu, sebaliknya merupakan dasar yang telah dipegang negara sejak era Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Perdana Menteri berkata pendirian itu turut selari dengan kerangka yang diterima Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), justeru Malaysia akan terus berpegang kepada dasar berkenaan sambil mengutamakan penyelesaian secara aman.
“Dasar Satu China itu sejak Almarhum Tun Abdul Razak. Jadi, saya berpendapat dasar itu kekal dan kita utamakan. Tentunya kita cari jalan damai,” katanya kepada media selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia menghormati pendirian China berhubung isu berkenaan, namun menegaskan pendekatan secara aman adalah jalan terbaik dalam menangani sebarang perbezaan.
Beliau berkata, pendirian Malaysia itu tidak harus dianggap sebagai perkembangan baharu kerana hubungan diplomatik dengan China serta pengiktirafan terhadap Dasar Satu China telah lama menjadi dasar rasmi negara.
“Kalau ditanya apakah ada kemungkinan tindakan ketenteraan tertentu diambil, tentunya. Itu saya beri contoh kalau berlaku di Malaysia sendiri.
“Tetapi dasar Malaysia mengiktiraf Satu China itu bukan baharu, ia dipersetujui oleh PBB. Sebab itu kalau lihat dalam konteks negara, China hanya satu, manakala satu lagi diletakkan sebagai entiti Taiwan dan tiada pengiktirafan,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Mengulas pendirian Malaysia ketika ini, Anwar berkata kerajaan menyokong usaha berterusan untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap isu berkenaan.
Beliau turut mengambil contoh pendirian Amerika Syarikat (AS) yang secara sejarahnya tidak menggalakkan perpecahan wilayahnya sendiri.
“Amerika Syarikat sejak ratusan tahun, bila ada ‘AS war’, mereka juga tidak mengizinkan perpecahan negara. Oleh itu saya hanya ikut yang konsisten.
“Sudah tentu saya hormat pendirian China, tetapi jalur damai itu terbaik dan itulah yang sedang dilakukan,” katanya.
Pada Jun lalu, Malaysia sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap Dasar Satu China seperti yang termaktub dalam Komunike Bersama yang dimeterai pemimpin Malaysia dan China pada 31 Mei 1974.
Menerusi dasar tersebut, Malaysia mengiktiraf Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayah China yang tidak boleh dipisahkan.
Pendirian Anwar itu turut menjadi perhatian selepas beliau dalam satu wawancara dengan media antarabangsa baru-baru ini menyatakan sokongan terhadap Dasar Satu China, selain mengakui hak China untuk menggunakan kekuatan ketenteraan dalam usaha penyatuan semula negara itu.
Kenyataan berkenaan bagaimanapun mendapat bantahan daripada Taiwan.










