KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober depan di aras 118, Menara Merdeka 118.
Pengumuman itu dibuat pasangan berkenaan menerusi program hiburan MeleTOP, malam tadi, selepas klip video khas yang memaparkan mereka mengenakan busana tradisional serba putih ditayangkan.
Syed Saddiq, 34, berkata pemilihan tarikh berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai persiapan, selain menghargai doa dan nasihat orang ramai sejak mereka mengumumkan pertunangan pada 28 Mac lalu.
Menurutnya, Oktober bakal menjadi titik permulaan kehidupan baharu mereka, walaupun beliau mengakui hasrat untuk berkahwin lebih awal.
Majlis pernikahan pasangan itu bakal mengangkat konsep serba putih dengan elemen Arab atau Islamik, atas permintaan keluarga.
Selain majlis pernikahan di Menara Merdeka 118, pasangan yang diberi gelaran ‘BASS’ oleh peminat itu turut merancang mengadakan majlis persandingan pada bulan sama, selain beberapa majlis lain di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah.
Syed Saddiq turut menyifatkan pemilihan Menara Merdeka 118 sebagai istimewa kerana majlis mereka bakal menjadi antara majlis pernikahan pertama yang diadakan di tingkat 118 bangunan berkenaan.
Pengumuman tarikh pernikahan itu sememangnya dinanti-nantikan peminat selepas pasangan berkenaan bertunang pada 28 Mac lalu.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan.
Bella sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz, pada 2016. Perkahwinan itu berakhir dengan perceraian kali kedua pada 13 Jun 2024 dan dikurniakan dua cahaya mata.










