KUALA LUMPUR: Naib Presiden Wawasan, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan gesaan DAP supaya peruntukan kepada semua Ahli Parlimen diberikan secara sama rata sebagai sekadar ‘wayang’, selepas lebih tiga tahun parti itu berada dalam kerajaan.
Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu berkata, jika DAP benar-benar serius memperjuangkan isu berkenaan, tuntutan supaya peruntukan disalurkan secara adil kepada semua wakil rakyat sepatutnya dibuat sejak awal pentadbiran kerajaan ketika ini.
Menurutnya, tindakan DAP membangkitkan perkara itu ketika penggal hampir berakhir menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti berkenaan.
“Tuntutan ini adalah perkara yang baik. Tapi ia wayang saja, sebab kalau DAP serius kenapa tak tuntut dari awal?
“Dah dekat hujung penggal baru nak berlakon seolah-olah mereka peduli. Padahal sudah lebih tiga tahun mereka zalim dan menafikan hak peruntukan daripada kami wakil rakyat Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful turut menyifatkan cadangan supaya satu akta diwujudkan bagi menjamin pemberian peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen sebagai petunjuk bahawa DAP sedang bersiap menghadapi kemungkinan menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, gesaan berkenaan lebih dilihat sebagai usaha parti itu menyediakan perlindungan sekiranya kedudukannya berubah selepas pilihan raya akan datang, bukannya semata-mata memperjuangkan kepentingan rakyat.
“DAP buat pengumuman seolah-olah mereka peduli mengenai hak wakil rakyat secara keseluruhan. Tapi sebenarnya DAP sekarang bimbang mereka jadi pembangkang selepas PRU16.
“Sebab itu baru sekarang dia mahukan akta diwujudkan untuk menjamin peruntukan. Sebenarnya mereka hanya nak sediakan ‘safety net’ untuk diri sendiri sahaja,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memastikan semua Ahli Parlimen menerima peruntukan secara sama rata selain menggubal undang-undang bagi memastikan pemberian itu dapat dipertahankan secara berterusan.
Gobind berkata, perkara itu sudah beberapa kali disampaikan pemimpin DAP kepada Anwar, selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat.
Beliau turut menegaskan komitmen DAP untuk melaksanakan janji berkenaan seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya PH.










