CEO Bank Pelaburan Antara Tiga Tokoh Korporat Bakal Didakwa Esok

KUALA LUMPUR: Tiga individu yang mempunyai kedudukan penting dalam sektor korporat dijangka dihadapkan ke mahkamah esok bagi menghadapi pertuduhan berkaitan rasuah.

Antara yang bakal didakwa ialah seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah bank pelaburan, dengan prosiding dijangka berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sumber memaklumkan, pertuduhan terhadap CEO terbabit dipercayai berkait dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan jumlah rasuah lebih RM130 juta.

Turut akan berdepan pertuduhan di mahkamah sama ialah seorang wanita bergelar Datuk yang memegang jawatan sebagai pengarah sebuah syarikat.

Wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu sebelum ini pernah menjadi perhatian susulan kaitannya dengan satu pelaburan yang disiasat SPRM.

Dia juga pernah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pecah amanah.

Dalam perkembangan berasingan, seorang CFO sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang beroperasi di selatan Semenanjung pula dijangka menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban.

Kes membabitkan CFO itu dikatakan melibatkan dakwaan rasuah bernilai RM6.56 juta.

Bagaimanapun, hubungan antara ketiga-tiga kes tersebut masih belum jelas, termasuk sama ada ia berpunca daripada satu siasatan berkaitan pelaburan yang sama atau kes berasingan yang sedang dijalankan SPRM.

Seorang pegawai kanan SPRM mengesahkan kepada BH mengenai prosiding terhadap ketiga-tiga individu terbabit, namun tidak memberikan sebarang komen lanjut.

Ketiga-tiga mereka dijangka hadir di mahkamah masing-masing untuk prosiding pertuduhan esok.

BBerkaitan

Latest articles