Nurul Muhaniza Wanita Pertama Dilantik Pengarah Urusan Kumpulan FGV

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad hari ini melantik Nurul Muhaniza Hanafi sebagai Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu, sekali gus mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan nombor satu di syarikat gergasi agromakanan dan perladangan tersebut.

Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi serta seluruh warga FGV dalam satu kenyataan menyifatkan pelantikan bersejarah itu sebagai pencapaian penting yang mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan terhadap kepimpinan berwibawa, kecemerlangan dan pertumbuhan berterusan.

Menurut kenyataan itu, Nurul Muhaniza yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah FGV mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai keutamaan strategik, tadbir urus serta aspirasi jangka panjang syarikat.

“Nurul Muhaniza komited untuk menerajui FGV dalam fasa transformasi seterusnya, berlandaskan integrasi bersama FELDA, prestasi operasi yang lebih kukuh serta penciptaan nilai lestari bagi keseluruhan ekosistem Kumpulan FELDA,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan dan warga kerja FGV turut menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan beliau mampu membawa syarikat ke arah masa depan yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing.

BBerkaitan

Latest articles