MARA Wajibkan Pengusaha Dewan Makan MRSM Utamakan Bahan Mentah Bumiputera

KUALA LUMPUR: Semua pengusaha dewan makan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej MARA yang menerima kontrak daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini diwajibkan mengutamakan pembelian bahan mentah daripada usahawan Bumiputera.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dasar baharu itu meliputi bahan mentah yang digunakan bagi penyediaan makanan di institusi berkenaan, termasuk ayam, ikan, kicap, sos dan barangan berkaitan.

Katanya, nilai kontrak pengurusan dewan makan bagi setiap MRSM secara purata mencecah antara RM7 juta hingga RM9 juta untuk tempoh dua tahun.

“Dasar baharu diluluskan MARA, yang mana semua pengusaha dewan makan MRSM dan Kolej MARA yang mendapat kontrak MARA wajib mengutamakan barangan mentah seperti ayam, ikan, kicap, sos dan lain-lain hanya daripada usahawan Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, pelaksanaan dasar itu antara usaha MARA memastikan perolehan daripada kontrak dewan makan turut memberi manfaat secara langsung kepada usahawan Bumiputera.

Dalam pada itu, isu kualiti makanan di dewan makan MRSM sebelum ini turut mendapat perhatian selepas menerima aduan daripada ibu bapa dan pelajar.

Asyraf Wajdi berkata, aduan berhubung kualiti makanan kini semakin berkurangan susulan tindakan tegas yang diambil, termasuk usaha memecahkan kumpulan kartel yang didakwa menguasai kontrak makanan di institusi berkenaan.

Beliau sebelum ini memaklumkan pemeriksaan mengejut atau operasi “terjah” ke MRSM turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pengusaha mematuhi standard ditetapkan.

Langkah itu dilakukan selepas beliau menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar sejak diberikan amanah menerajui MARA kira-kira tiga tahun lalu.

BBerkaitan

Latest articles