PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kestabilan politik perlu dipertahankan meskipun ia menuntut kerajaan membuat kompromi, demi memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang dan kekal diyakini pelabur global.
Beliau berkata, pilihan untuk berdepan konflik politik secara terbuka berisiko memberi kesan langsung kepada ekonomi, termasuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Menurut Anwar, kerajaan berdepan dua pilihan, iaitu berkonfrontasi sehingga berpotensi menggugat ekonomi atau mengambil pendekatan kompromi bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Orang sergah saya kerana nampak kompromi, tetapi saya ada pilihan. Bertempur, ekonomi menjunam.
“Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah yang diambil. Itu antara dua keputusan yang harus dibuat.
“Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican serta Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Anwar berkata, kestabilan politik bukan sekadar berkaitan pentadbiran kerajaan, sebaliknya menjadi antara asas penting dalam meyakinkan pelabur untuk menanam modal di negara ini.
Katanya, pelabur memerlukan kepastian bahawa keadaan politik negara berada pada tahap stabil sebelum membuat keputusan pelaburan berskala besar.
“Bagi saya kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita kerana orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata prestasi asas ekonomi negara yang semakin kukuh memberi kerajaan ruang lebih luas untuk mempertimbangkan permintaan tambahan peruntukan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap permintaan tidak boleh diputuskan secara bersendirian atau berdasarkan tekanan tertentu, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kedudukan ekonomi secara menyeluruh.
Anwar berkata pertimbangan itu mesti mengambil kira kerangka makroekonomi serta kemampuan kewangan kerajaan bagi memastikan perbelanjaan negara kekal mampan.
Beliau menjelaskan, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh akhirnya akan meningkatkan keupayaan kerajaan menambah peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat, sekali gus menjadikan kestabilan politik dan prestasi ekonomi saling berkait.










