​’Keluarlah Dari KDN Jika Tiada Integriti’ – Awang Alik

​PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan kompromi terhadap mana-mana warganya yang tidak mempunyai integriti dan mengambil kesempatan merosakkan keselamatan negara demi kepentingan atau habuan peribadi.

​Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman memberi amaran keras itu sambil menembelak tindakan sebilangan pegawai yang tergamak membocorkan serta menggodam sistem keselamatan kementerian sendiri.

​Beliau menegaskan, sebagai benteng utama keselamatan negara, warga KDN sepatutnya menjadi pihak paling hadapan memelihara kedaulatan tanah air dan bukannya merobohkannya dari dalam.

​”Tugas kita di KDN adalah sebagai benteng utama atau benteng terakhir negara dalam mempertahankan keselamatan dalam negeri, tapi kita sendiri yang godam sistem kita… apa benda yang kita buat?

​”Saya fikir ini bukan perkara yang logik untuk dilakukan oleh seorang yang bekerja dengan Kementerian Dalam Negeri.

​”Kalau inilah yang menjadi hasrat kita dengan harapan boleh dapat habuan yang banyak daripada itu, keluarlah dari KDN!” katanya tegas.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, pada Selasa.

​Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.

​Mengulas lanjut, Awang Alik meluahkan rasa terkilan dengan insiden membabitkan integriti pegawai kementerian, termasuk isu memeras ugut warga asing serta membiarkan pendatang haram menetap di negara ini secara salah.

​Jelas beliau, salah guna kuasa serta sifat tamak dalam diri pegawai terlibat bukan sahaja mencemarkan imej kementerian, malah berisiko mengembalikan negara ke era kehancuran dan ketidaktenteraman.

​”Kemerdekaan ini bukan pengakhir kepada keadaan negara kita, bahkan ia merupakan permulaan kepada perjalanan negara yang sebenar.

“Yang paling penting adalah bagaimana kita mensyukuri dan menghargai kemerdekaan yang kita terima.

​”Ingat, apa yang kita nikmati hari ini adalah perkara yang kita pinjam daripada generasi akan datang. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan negara ini berada dalam keadaan baik apabila diserahkan kelak,” katanya.

​Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga KDN agar kembali menghayati nilai integriti, kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan demi memelihara keselamatan serta ketenteraman awam.

BBerkaitan

Latest articles