Anwar: Kerajaan Terbuka Kaji Gabungan SST-GST, Namun SST Kekal Asas Percukaian

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menutup ruang untuk mengkaji penggabungan elemen Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan ciri tertentu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam usaha memperkemas sistem percukaian negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata SST bagaimanapun akan terus menjadi asas sistem percukaian buat masa ini, sambil kerajaan menilai penyesuaian yang boleh menjadikan sistem berkenaan lebih progresif dan berkesan.

Menurut beliau, sebarang perubahan perlu mengambil kira keadaan rakyat, khususnya tekanan kos sara hidup serta beban kewangan yang masih dihadapi ketika ini.

“Mengenai GST, SST kita terbuka untuk kaji, untuk perbaiki sistem percukaian tetapi kalau nak bercakap pasal GST sahaja, saya punya kebimbangan, seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini nak cukai rakyat.”

Anwar berkata, kerajaan perlu berhati-hati sekiranya mahu memperluas asas percukaian kerana langkah itu berpotensi menyebabkan lebih ramai rakyat yang sebelum ini tidak membayar cukai turut terbeban.

“Maknanya orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar. Mana kita nak jawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, beban rakyat.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar menegaskan, pendekatan kerajaan ketika ini adalah mengekalkan SST sebagai asas, namun tidak bermakna sistem itu tidak boleh ditambah baik.

Katanya, beberapa ciri atau penyesuaian daripada sistem GST boleh dipertimbangkan sekiranya ia mampu menghasilkan sistem percukaian yang lebih adil tanpa menambah tekanan kepada rakyat.

“Sebab itu kita guna pangkal SST tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan.”

BBerkaitan

Latest articles