GEORGE TOWN: Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Chow Kon Yeow meminta pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli supaya menghormati keputusan perwakilan DAP untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat secara jelas menerusi undian pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 dan wajar diterima tanpa dipersoalkan pihak luar.
“Minta dia hormati DAP dan keputusan perwakilan. Itu fakta asas, bukan?” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program penyertaan awam dan pemberitahuan awam bagi Pelan Struktur Pulau Pinang 2040, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rafizi bahawa DAP tidak mungkin meninggalkan Kerajaan Perpaduan kerana sudah mempunyai kedudukan besar dalam pentadbiran.
Sebelum ini, Rafizi mendakwa penglibatan DAP dalam kerajaan di pelbagai peringkat, termasuk menteri, timbalan menteri, anggota Exco kerajaan negeri, Ahli Parlimen, ADUN dan ahli majlis tempatan, menjadikan keputusan untuk keluar daripada kerajaan sesuatu yang sukar.
Rafizi turut menilai DAP berkemungkinan terus berada dalam kerajaan walaupun wujud perbezaan pandangan dalam Pakatan Harapan (PH).
Namun, pendirian DAP mengenai perkara itu sudah diputuskan menerusi undian perwakilan semalam.
Seramai 1,857 perwakilan atau 88.2 peratus menyokong supaya DAP terus kekal dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, manakala 242 perwakilan atau 11.5 peratus memilih supaya parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan.










