Akta MARA 2026 Penting Lindungi Aset RM23 Bilion, Elak Kelemahan Tadbir Urus

KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta MARA 2026 dilihat penting bagi memperkukuh tadbir urus serta melindungi aset Majlis Amanah Rakyat (MARA) bernilai kira-kira RM23 bilion daripada risiko penyelewengan dan salah urus.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, undang-undang baharu itu juga perlu bagi memastikan kepentingan lebih 700,000 pelajar dan usahawan dalam ekosistem MARA terus terpelihara.

Menurutnya, cadangan menggantikan Akta MARA 1966 itu merupakan kemuncak usaha pembaharuan tadbir urus yang dilaksanakan sejak beliau menerajui MARA pada 10 Mac 2023.

Katanya, langkah berkenaan antara lain mengambil kira kelemahan lampau termasuk isu pembelian aset di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2013 yang menyumbang kepada kerugian terkumpul MARA Inc sebanyak RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.

“Banyak isu sebelum ini berkait dengan kelemahan struktur asas tadbir urus dan tatakelola MARA.

“Justeru, segala bentuk penyelewengan dan penyimpangan terhadap aset milik MARA perlu ditoktahkan kerana ia boleh menjejaskan amanah besar yang dipikul institusi ini,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, antara kontroversi lain yang pernah berlaku termasuk isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan, projek yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit, kelemahan pengurusan kutipan hutang serta dakwaan kartel dalam tender perolehan.

Beliau berkata, bagi menangani perkara itu, Pasukan Khas Menilai dan Memperbaiki Tadbir Urus Korporat serta Tatakelola Kewangan MARA turut ditubuhkan dan diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Dalam pada itu, katanya, skop tanggungjawab MARA kini jauh lebih besar merangkumi sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.

“Selain 45,000 pelajar MRSM, ekosistem pendidikan MARA turut melibatkan hampir 225,000 pelajar melalui institusi seperti TVETMARA, GiatMARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

“Dalam sektor keusahawanan pula, lebih 500,000 penerima manfaat bergantung kepada pelbagai pinjaman, geran dan bantuan MARA,” katanya.

Menurutnya, MARA turut memiliki lebih 13 anak syarikat di bawah MARA Corporation yang menjalankan aktiviti pelaburan, selain kepentingan dalam unit amanah melalui Pelaburan MARA Berhad.

Sebelum ini, draf Akta MARA 2026 dilaporkan mengalami kira-kira 80 peratus perubahan dengan penekanan terhadap tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa dan amalan korporat terbaik.

Akta baharu itu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles