KUALA LUMPUR: Kesalahan individu dalam isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak wajar dijadikan alasan untuk menghina atau merendahkan bangsa Melayu secara keseluruhannya, tegas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh.
Menurut beliau, perbuatan jenayah tidak mempunyai kaitan dengan bangsa, sebaliknya setiap individu yang melakukan kesalahan perlu berdepan tindakan undang-undang tanpa mengira latar belakang mereka.
“Kalau ada yang mencuri, tangkap, siasat, dakwa dan bawa ke mahkamah. Biar undang-undang menentukan siapa yang bersalah.
“Jika berlaku kesalahan dalam Tabung Haji dan pelakunya Melayu, tidak adil untuk kesalahan itu dipikul oleh seluruh bangsa Melayu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, perkara sama boleh dilihat dalam pelbagai kes melibatkan sektor korporat, kegiatan mafia dan isu terowong yang pernah dikaitkan dengan individu daripada pelbagai kaum.
Katanya, adalah tidak wajar keseluruhan sesuatu kaum dipersalahkan hanya kerana tindakan segelintir individu.
“Dalam setiap bangsa ada yang baik dan ada juga yang melakukan kesalahan. Jangan kerana perbuatan beberapa individu, satu bangsa pula dihina dan direndahkan,” katanya.
Akmal turut mengingatkan bahawa kerajaan mempunyai kuasa, agensi penguatkuasaan serta peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan.
Beliau pada masa sama mengkritik sikap pihak yang menurutnya lebih gemar menuding jari berbanding menggunakan kuasa yang dimiliki untuk mengambil tindakan.
“Jangan sudah menjadi kerajaan tetapi masih bercakap seperti pembangkang, pandai menuding jari tetapi gagal mengambil tindakan.
“Jika pelaku itu Melayu, jangan hina Melayu secara keseluruhan. Tetapi jika pelakunya daripada bangsa lain, jangan pula berdiam diri,” katanya.
Beliau menegaskan, seseorang penjenayah mungkin mempunyai latar bangsa tertentu, namun jenayah tidak seharusnya dilihat melalui kerangka perkauman.
“Yang bersalah perlu dihukum berdasarkan undang-undang, bukan kerana bangsa mereka,” katanya.
Hantaran itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, baru-baru ini.
Mohd Sany sebelum itu mencelah ketika Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) membahaskan isu berkaitan salah guna atau pengambilan wang rakyat.
Dalam celahannya, Mohd Sany secara sinis menyentuh persoalan sama ada perbuatan mencuri, merompak atau mengambil wang rakyat boleh dianggap tidak bermasalah sekiranya dilakukan oleh individu Melayu beragama Islam.
Kenyataan berkenaan kemudiannya ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor yang menggesa Mohd Sany menarik balik kenyataannya.
Situasi menjadi tegang apabila Mohd Sany pada awalnya berdalih ketika diminta berbuat demikian sehingga Ramli hampir mengarahkannya keluar dari Dewan.
Mohd Sany akhirnya bersetuju menarik balik kenyataan tersebut, namun menjelaskan bahawa beliau merujuk kepada hanya segelintir individu Melayu yang melakukan perbuatan berkenaan.










