Dakwaan Abdul Azeez Ditahan SPRM Tidak Benar, Kata Anak

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai penahanan bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terjawab apabila anaknya tampil menafikan dakwaan yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata bapanya berada di kediaman keluarga dan sedang berehat, sekali gus menepis dakwaan bahawa beliau ditahan berkaitan isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengambil berat mengenai keadaan bapanya.

“Untuk mereka yang bertanyakan khabar saya ucapkan terima kasih banyak dan untuk makluman, ayah saya masih di rumah sedang berehat.

“Semoga segalanya dipermudah dan apa jua bentuk siasatan dijalankan dengan penuh integriti, adil dan telus,” katanya.

Dakwaan mengenai penahanan bekas Ahli Parlimen Baling itu mula tersebar di beberapa platform media sosial lewat malam tadi, namun setakat ini dinafikan keluarganya.

Abdul Azeez sebelum ini menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya dipanggil atau disiasat berhubung Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Laporan berkenaan turut dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

BBerkaitan

Latest articles