Juruterbang Malaysia Airlines Dipercayai Beberapa Kali Bawa Dadah Sejak 2024

KUALA LUMPUR: Juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia bersama kira-kira 25 kilogram dadah dipercayai sudah beberapa kali membawa bahan terlarang keluar dari Malaysia ke beberapa negara sejak 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata perkara itu terbongkar hasil soal siasat pasukan JSJN terhadap juruterbang berusia 39 tahun berkenaan di Jakarta.

Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan jadual penerbangannya untuk membawa dadah ke beberapa destinasi dan turut mendedahkan maklumat berkaitan rangkaian sindiket dadah di Malaysia, Indonesia serta beberapa negara lain.

“Dia terbabit sejak 2024 dengan peranannya membawa dadah keluar dari negara ke beberapa destinasi mengikut jadual penerbangannya.

“Ini bukan kali pertama kerana dia sudah beberapa kali membawa dadah ke beberapa negara,” katanya.

Hussein berkata PDRM kini akan menyiasat lebih lanjut anggota sindiket yang dikenal pasti, termasuk aliran kewangan hasil kegiatan pengedaran dadah.

Pada masa sama, maklumat mengenai rangkaian sindiket antarabangsa itu akan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan dadah di negara berkaitan.

Hasil siasatan setakat ini juga tidak menemukan petunjuk pembabitan orang dalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika suspek melepasi pemeriksaan.

Hussein berkata juruterbang berkenaan dipercayai bertindak sendirian ketika melalui pemeriksaan, namun kaedah yang digunakan untuk melepasi pemeriksaan masih dalam siasatan.

“PDRM setakat ini berpuas hati tiada pembabitan orang dalam dalam proses berkenaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kaedah digunakan suspek kerana bimbang ia menjejaskan siasatan.

Juruterbang itu ditahan Polis Republik Indonesia (POLRI) di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, pada 29 Julai lalu selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan penerbangan MH727.

Penahanan kira-kira jam 11.30 malam waktu tempatan dibuat selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasinya mencurigakan melalui imbasan sinar-X.

Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya.

Keseluruhan dadah itu dianggarkan bernilai sekitar RM45 juta.

Menurut polis Indonesia, suspek didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah berkenaan ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel.

Suspek kini masih ditahan POLRI dan perlu melalui proses perundangan di Indonesia. Sebarang kemungkinan ekstradisi ke Malaysia bergantung kepada urusan serta keputusan pihak berkuasa kedua-dua negara.

PDRM juga masih menyiasat jumlah penghantaran, negara destinasi serta jumlah bayaran yang diterima suspek sejak 2024.

BBerkaitan

Latest articles