JPRN PKR Turun Ke Kedah, Perlis Dalam Tempoh Dua Minggu – Amirudin

​AYER KEROH: Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mula turun ke lapangan di Kedah dan Perlis dalam tempoh dua minggu lagi bagi mengukuhkan jentera parti di kedua-dua negeri berkenaan.

​Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan jentera berada pada tahap optimum menerusi penilaian data sokongan serta pemantauan strategi pergerakan di peringkat akar umbi.

​Menurut beliau, data sokongan pengundi daripada Pilihan Raya Umum (PRU) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini menjadi landasan utama untuk parti merangka pendekatan baharu yang lebih berkesan.

​”JPRN akan turun ke Kedah dan Perlis dalam tempoh dua minggu ini untuk melihat sendiri kesediaan jentera serta menyusun pergerakan kita di lapangan.

​”Kita perlu memperkemaskan strategi berasaskan analisis data undi merentasi kaum agar mesej dan visi perjuangan parti dapat disampaikan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan bahawa persediaan jentera di negeri-negeri berkenaan turut menuntut perubahan dari segi pendekatan komunikasi, khususnya dalam mendekati golongan pengundi muda.

Ujar beliau, perbincangan serta mesej politik perlu disesuaikan dengan minda dan selera generasi masa kini bagi memastikan PKR kekal relevan sebagai parti yang membawa aspirasi rakyat.

“Pendekatan dan bahasa kita kena berubah. Kita kena faham istilah serta selera anak muda hari ini supaya mereka benar-benar memahami kejelasan visi yang dibawakan oleh parti,” jelasnya lagi.

Langkah menggiatkan jentera di Kedah dan Perlis ini menjadi sebahagian daripada fokus PKR untuk memantapkan koordinasi parti di semua peringkat menjelang fasa PRU akan datang.

BBerkaitan

Latest articles