AYER KEROH: Kerajaan Negeri Selangor digesa untuk memanfaatkan lonjakan rizab kewangan negeri yang kini mencecah RM4 bilion dengan menyalurkan terus bantuan berkenaan kepada rakyat.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, kejayaan mengumpul dana kewangan yang besar adalah satu pencapaian, namun kebajikan rakyat di peringkat akar umbi perlu sentiasa diutamakan.
“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) memang hebat. Masa beliau ambil alih (pentadbiran), rizab ada RM400 juta dan sekarang sudah mencecah RM4 bilion.
“Tetapi pada pandangan saya, adalah lebih baik kita gunakan wang yang ada itu untuk sampai terus kepada rakyat di bawah.
“Lepas ini rakyat Selangor bolehlah tunggu bantuan daripada Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Ayer Keroh, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ramanan turut menempelak jentera parti yang didakwa masih lemah dan gagal menyampaikan pelbagai kejayaan serta inisiatif Kerajaan Madani kepada masyarakat.
Beliau menegaskan, pelbagai bantuan kewangan dan subsidi besar telah diperuntukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kurang dirasai rakyat akibat kelemahan penyampaian maklumat di peringkat cabang dan ranting.
“Kerajaan meluluskan RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tertinggi dalam sejarah, selain kekal mempertahankan harga RON95 terendah di rantau Rantau ASEAN.
“Namun jika rakyat masih tidak faham dan tidak tahu, kita perlu tanya diri sendiri adakah jentera parti sudah bekerja secukupnya? Jangan tunggu pilihan raya baru mahu beri penerangan, penerangan mesti berlaku setiap hari,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau mengingatkan seluruh ahli PKR agar merombak strategi politik dan tidak mengulangi kesilapan lama.
“Dalam politik, insanity (gila) adalah apabila kita melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan keputusan berbeza.
“Kita perlu tukar strategi, rapatkan barisan dan hentikan amalan ‘cucuk-mencucuk’ sesama sendiri.
“Tiada kepentingan peribadi atau ego yang lebih besar daripada perjuangan parti. Kita mesti pastikan PMX (Anwar Ibrahim) kekal mentadbir bagi satu penggal lagi demi menyelesaikan agenda reformasi,” katanya lagi.










