AYER KEROH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang menggesa seluruh ahli dan pimpinan parti agar tidak terperangkap dengan naratif serta propaganda “reformati” yang dimainkan oleh pihak lawan, sebaliknya terus berkeyakinan mempertahankan rekod reformasi kerajaan hari ini.
Beliau menegaskan, dakwaan kononnya agenda reformasi telah mati adalah tidak benar kerana pelbagai langkah penambahbaikan dan dasar penting telah berjaya dilaksanakan sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
”Jangan kita dibawakan oleh propaganda mereka mengenai ‘reformati’.
“Kita perlu ambil inisiatif untuk beritahu rakyat, ada perkara yang telah kita buat. Mungkin belum cukup, tetapi kita ada lakukan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, pada Ahad.
Sebagai contoh, Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyorot usaha kerajaan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun – satu langkah reformasi institusi yang tidak pernah dilakukan oleh kepimpinan terdahulu.
”Mana ada Perdana Menteri dalam sejarah kita buat begitu? Presiden kita yang buat. Yang bantah di Parlimen itu pula adalah orang yang belum jadi Perdana Menteri.
“Ini untuk kebaikan negara dan kita perlu terangkan kepada rakyat dengan penuh keyakinan,” tegas beliau.
Mengambil situasi semasa parti dengan karya terkenal Charles Dickens, A Tale of Two Cities, beliau menyifatkan fasa PKR ketika ini sebagai “masa terbaik dan masa paling buruk” (the best of times, the worst of times).
Jelas beliau, PKR berada pada fasa terbaik apabila memegang tampuk kerajaan pusat dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, selain memiliki barisan Menteri, Menteri Besar, EXCO serta jentera pentadbiran.
Namun pada masa sama, parti berdepan cabaran sebagai kerajaan, termasuk bebanan isu warisan lalu, kekangan kewangan serta cabaran mengimbangi persefahaman bersama parti-parti komponen lain.
”Bila jadi kerajaan, kita ada bebanan (baggage). Ada isu legasi yang sukar diselesaikan dalam masa beberapa tahun, ada isu keupayaan kewangan… tetapi kita kena guna kekuatan dan kedudukan yang ada sekarang untuk bawa perubahan,” ujarnya.
Mengulas mengenai beberapa siri kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini seperti di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, Lih Kang mengingatkan ahli agar tidak berasa kecewa sebaliknya melakukan refleksi kendiri terhadap perkhidmatan dan organisasi parti.
Beliau turut menekankan kepentingan pimpinan dan ahli PKR untuk memperkukuh naratif serta komunikasi terus kepada rakyat jelata, bukannya hanya bergantung kepada media sosial semata-mata.
Malah, beliau menyahut cabaran untuk mempergiat kerja di peringkat akar umpi, khususnya dalam menyebar luas maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat Cina di seluruh negara.










