‘Tangkap Kaki Sakau’, Anak Muda Sambut Ketibaan Anwar Di Kongres PKR

​AYER KEROH: Suasana di perkarangan pintu masuk Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) meriah dengan sorakan anak muda menjelang hari terakhir Kongres Nasional Keadilan 2026 pagi tadi.

​Sekumpulan anak muda yang keseluruhannya berpakaian baju hitam itu dilihat berhimpun seawal pagi bagi menyambut ketibaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​Dengan membawa kain rentang dan poster berbunyi “ANAK MUDA NAK HUMBAN KAKI SAKAU”, “TABUNG HAJI”, dan “JANGAN LEPASKAN KAKI SAKAU”, kumpulan itu melaungkan slogan sokongan secara serentak.

​Laungan “Tangkap Tangkap, Kaki Sakau” didengar berulang kali sewaktu kenderaan Anwar bergerak perlahan melintasi kumpulan terbabit masuk ke perkarangan bangunan.

​Aksi berkenaan nyata selari dengan penegasan ucapan dasar Anwar pada hari pertama kongres semalam.

Beliau mendedahkan komitmen kerajaan untuk membongkar isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebaik sahaja selesai meneliti kepincangan Lembaga Tabung Haji (TH).

​”Selesai Tabung Haji, bongkar Felda pula,” tegas Anwar semalam, mengimbau titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu siasatan penyelewengan institusi milik rakyat diteruskan tanpa kompromi.

​Selain poster menyasarkan isu rasuah, kumpulan anak muda terbabit turut memegang poster bertulis “ANAK MUDA TUNTUT DUNIA AKHIRAT” serta desakan mempertahankan integriti Tabung Haji.

Suasana perhimpunan secara aman yang berlangsung beberapa minit itu menarik perhatian ramai perwakilan tanpa mengganggu kelancaran lalu lintas di MITC.

BBerkaitan

Latest articles