PAS Mahu Jadikan Selangor Titik Mula Tumbangkan PH Pada PRU16

TANJUNG KARANG: PAS menyasarkan Selangor sebagai medan awal untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebelum gerakan itu diteruskan ke peringkat Persekutuan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kedudukan Selangor sebagai antara negeri terpenting dalam aspek ekonomi, kewangan dan pentadbiran menjadikan penguasaan negeri itu signifikan dalam percaturan politik negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor di Kompleks PAS Selangor, di sini, malam tadi.

“Jatuh PH di Selangor, jatuhlah PH di federal (persekutuan),” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, perhimpunan berkenaan menjadi medan untuk menyuntik semangat serta menyatukan tekad jentera PAS dalam usaha mengambil alih pentadbiran Selangor daripada PH.

Katanya, parti itu akan memperkemas perancangan menghadapi PRU16 dengan menyusun pelbagai strategi dan pendekatan yang selari dengan perlembagaan parti, undang-undang negara serta prinsip demokrasi.

Beliau pada masa sama menggesa rakyat membuat penilaian terhadap PH berdasarkan rekod pencapaian sepanjang mentadbir negara, bukan hanya bersandarkan slogan atau retorik politik.

“Esok hangpa (kamu) mula kutip prestasi hangpa (kamu). Banding dengan prestasi dulu, bentangkan kepada rakyat Malaysia.

“Kami nak nilai. Kalau hangpa (kamu) nak ajak main politik prestasi, prestasi apa? Apa yang telah hangpa (kamu) capai? Tunjukkan. Kami nak tengok, buktikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Lembaga Tabung Haji selepas tempoh kira-kira tiga tahun.

Beliau mendakwa kelewatan berkenaan mempunyai kaitan dengan kepentingan politik kerajaan, namun tidak menghuraikan lanjut dakwaan tersebut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023, PH memenangi 32 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh 22 kerusi dan Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi.

Keputusan itu menyaksikan PH dan BN membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kedudukan politik Selangor berpotensi berdepan perubahan menjelang PRU16 susulan perkembangan kerjasama antara BN dan PN di negeri-negeri lain.

Bulan lalu, Timbalan Ketua Pemuda PKR Selangor, Shahrul Adnan, menggesa PH negeri menilai semula kerjasama politiknya dengan BN selepas BN dan PN bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu bagi menghadapi PH di kesemua 36 kerusi DUN.

Shahrul berkata kerjasama politik perlu berasaskan kepercayaan, rasa saling menghormati dan komitmen yang konsisten, bukannya berubah mengikut musim pilihan raya atau kepentingan politik semasa.

BBerkaitan

Latest articles