28 Pelabur Tuntut Semula RM11 Juta, Mahkamah Tinggi Benarkan Injunksi Mareva

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan injunksi mareva yang dibuat pelabur, Norbani P Mohideen bersama 27 yang lain bagi membekukan akaun bank sebuah syarikat pelaburan dan pengarahnya.

Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan perkara itu untuk menyabitkan syarikat itu bersama-sama dengan pengarahnya.

Peguam kepada Norbani, Muhammad Hisyam Md Yunus berkata, kes itu memihak kepada 28 pelabur yang juga adalah anak guamnya, dengan memastikan aset pengarah dan syarikat itu tidak dilarikan.

Menurutnya, cubaan pihak defenden untuk membatalkan permohonan injunksi mareva termasuk pengarahnya yang dibuat oleh 28 yang lain juga tidak dibenarkan oleh pihak mahkamah.

“Mareva boleh dibenarkan. Kita menjangkakan pada Oktober ini, mahkamah akan bagi satu keputusan untuk keluarkan segala aset yang berpotensi digunakan yang wujud supaya pihak pelabur mampu dapatkan aset tersebut,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Injunksi mareva adalah langkah perlindungan sementara bagi mengekalkan kedudukan aset sementara prosiding utama diteruskan.

Muhammad Hisyam berkata, tujuan pihaknya mengemukakan saman itu bagi menuntut semula hak 28 orang pelabur yang dianggarkan sebanyak RM11 juta.

“Kita ambil tindakan untuk membekukan, mencari dan juga mendapatkan hak dan duit pelabur semula.

“Kemenangan di atas kertas sahaja tidak mencukupi sekiranya aset sudah tiada apabila tiba masanya sesuatu penghakiman hendak dikuatkuasakan,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles