KUALA LUMPUR: Penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengimbasan di lapangan terbang dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu depan sebagai langkah memperkukuh kawalan keselamatan penerbangan negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang memperincikan cadangan penambahbaikan itu, termasuk aspek penggunaan serta skop mesin pengimbas di lapangan terbang.
Menurutnya, penelitian tersebut penting bagi memastikan sistem pengimbasan dan peralatan sedia ada dapat berfungsi dengan lebih berkesan dalam mengesan bahan terlarang serta ancaman keselamatan.
“KDN sedang merangka satu penambahbaikan dari segi SOP pengimbasan dan sebagainya yang akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.
“Dari segi mesin-mesin pengimbas kita ini, sudah tentu kita akan melihat skopnya dan juga SOP serta sebagainya untuk memastikan semua mesin pengimbas dapat ditambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Langkah memperkemas kawalan keselamatan di lapangan terbang itu susulan beberapa isu membabitkan penggunaan mesin pengimbas serta dakwaan penyeludupan dadah yang mencetuskan perhatian sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, kerajaan turut mengarahkan beberapa tindakan penambahbaikan segera, termasuk penempatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Arahan berkenaan dibuat selepas seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun dilaporkan ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada hujung bulan lalu.
Juruterbang terbabit disyaki cuba membawa masuk kira-kira 25 kilogram MDMA atau ekstasi serta sejumlah kecil methamphetamine ke Indonesia.
Perkara itu turut dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan KDN dan Kementerian Pengangkutan (MOT) diarahkan mengambil langkah susulan bagi memperkukuh aspek keselamatan penerbangan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan penambahbaikan berkenaan sedang dilaksanakan oleh kedua-dua kementerian.










