KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini membuka 14 kertas siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), termasuk lapan isu tambahan yang dikenal pasti hasil penelitian lanjut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, siasatan itu turut menyaksikan 28 premis diperiksa dan diserbu, dengan sebahagian besarnya terletak di sekitar Lembah Klang.
Menurut beliau, daripada enam isu utama yang diketengahkan dalam laporan RCI, tiga sudah diselesaikan sepenuhnya, manakala baki tiga lagi kini berada di fasa akhir siasatan.
“Daripada enam isu itu, terdapat perakuan untuk pertuduhan dan juga perakuan Tiada Tindakan Lanjut (NFA),” katanya.
Dalam perkembangan sama, semakan terperinci SPRM terhadap laporan RCI berkenaan menemukan lapan lagi isu berkaitan pelaburan yang disyaki bermasalah.
Penemuan itu membawa kepada pembukaan lapan kertas siasatan tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan siasatan yang sedang dijalankan sebanyak 14 kertas.
Setakat ini, tujuh individu sudah ditahan, dengan lima daripada mereka direman bagi membantu siasatan, selain tindakan sitaan turut dijalankan.
Seramai 115 individu pula sudah dipanggil untuk memberikan keterangan dan menjalani rakaman percakapan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Abdul Halim berkata, dua daripada tujuh suspek yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan atas faktor kesihatan.
SPRM turut menjejaki aliran kewangan berkaitan kes berkenaan, termasuk meneliti dokumen dan penyata kewangan daripada institusi perbankan serta institusi kewangan yang berkaitan.
Pada masa sama, dokumen perjanjian kontrak dan rekod pembayaran turut diperiksa bagi melengkapkan siasatan terhadap enam isu utama dalam laporan RCI.
Antara pelaburan yang kini menjadi fokus SPRM ialah Deru Semangat Sdn Bhd dalam sektor perladangan kelapa sawit, ABRAJ Sdn Bhd, Putrajaya Perdana Berhad dan Al-Raudhah Real Estate.
Siasatan turut meliputi Al-Farida Residential Fund, Tabung Haji Properties Sdn Bhd, Tabung Haji Marine Sdn Bhd serta Tabung Haji Hotel & Residence.
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Halim berkata tujuh individu ditahan dalam Ops Chicks di Sabah pada 11 Ogos lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan ayam sejuk beku dari China dan Poland.
Mereka terdiri daripada tiga pengusaha perniagaan dan empat penjawat awam, dan kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan.
SPRM turut menyita 10 kontena yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3.9 juta, selain mengesan potensi ketirisan cukai berjumlah RM1.01 juta.
Sebanyak tujuh telefon bimbit turut dirampas, manakala proses pembekuan akaun syarikat yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu sedang dijalankan.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti individu lain yang mungkin terbabit,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.










